
Kajian: Bila Yakjuj Dan Makjuj Keluar
Tarikh: Tuesday, August 11 @ 00:05:00 MYT Topik: Kajian & Penyelidikan
ﺍﻠﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻡIni adalah artikel keenam dari saya berkaitan Yakjuj Makjuj yang telah
diterbitkan di Megasutra. Sila buat carian jika anda ingin membaca
artikel terdahulu. Pada kali ini saya ingin menyatakan pendapat saya
mengenai makhluk misteri ini berdasarkan maklumat-maklumat terbaru.
Walaupun ada laman-laman Barat yang menganggap kisah Yakjuj Makjuj
adalah lagenda, bagi kita umat Islam ia adalah berita benar. Malah
berita mengenai keluarnya Yakjuj dan Makjuj di akhir zaman adalah tanda
bahawa hari kiamat sudah hampir, sebagaimana dijelaskan dalam Al-Qur'an:
حَتَّىٰٓ إِذَا فُتِحَتۡ يَأۡجُوجُ وَمَأۡجُوجُ وَهُم مِّن ڪُلِّ حَدَبٍ۬ يَنسِلُونَ
وَٱقۡتَرَبَ ٱلۡوَعۡدُ ٱلۡحَقُّ فَإِذَا هِىَ شَـٰخِصَةٌ أَبۡصَـٰرُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يَـٰوَيۡلَنَا قَدۡ ڪُنَّا فِى غَفۡلَةٍ۬ مِّنۡ هَـٰذَا بَلۡ ڪُنَّا ظَـٰلِمِينَ
(Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Yakjuj dan Makjuj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi. Dan hampirlah datangnya janji hari kiamat yang benar, maka dengan serta-merta pandangan mata orang-orang yang kufur ingkar terbeliak (sambil berkata dengan cemas): Aduhai celakanya Kami. Sesungguhnya kami telah tinggal dalam keadaan yang melalaikan kami daripada memikirkan perkara ini, bahkan kami telah menjadi orang-orang yang menganiaya diri sendiri. (Al-Anbiya 21:96-97)
Peristiwa keluarnya Yakjuj dan Makjuj setelah ribuan tahun terputus berita mengenai mereka ini, merupakan satu kejadian dahsyat dan menggemparkan umat manusia di atas muka bumi. Huru-hara yang berlaku ketika itu sukar digambarkan, dan manusia yang mengalaminya pada ketika itu jelas berada dalam ketakutan dan kekesalan yang amat sangat. Bila memperhatikan maksud ayat di atas, patutlah kita memperhatikan juga Surah An-Naml 27:82 kerana ia berkait:
وَإِذَا وَقَعَ ٱلۡقَوۡلُ عَلَيۡہِمۡ أَخۡرَجۡنَا لَهُمۡ دَآبَّةً۬ مِّنَ ٱلۡأَرۡضِ تُكَلِّمُهُمۡ أَنَّ ٱلنَّاسَ كَانُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا لَا يُوقِنُونَ Dan apabila sampai masa berlakunya hukuman atas manusia, Kami keluarkan untuk mereka sejenis binatang dari bumi (Dabbatul 'Ard), yang akan menyatakan kepada mereka, bahawa manusia telah tidak meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran Kami. (An-Naml 27:82)
PENDAPAT-PENDAPAT SIAPA YAKJUJ DAN MAKJUJ
Berbagai pendapat telah diutarakan mengenai siapakah Yakjuj dan Makjuj. Ambrose seorang Kristian pernah mengaitkan Gog sebagai kaum Goth. Lagenda Hungari dan Celt menyatakan bahawa mereka adalah keturunan Magog. Ada sarjana Kristian dan Islam mengaitkan kaum Khazar sebagai Yakjuj dan Makjuj. Menurut seorang rahib Kristian, Khazar adalah keturunan Yakjuj dan Makjuj dan berkhatan serta beragama Yahudi. Pada kurun ke 14, Ibn Kathir dalam kitabnya Al-Bidayah Wal-Nihayah seorang sarjana Muslim juga mengenalpasti kaum Khazar (yang tinggal antara Laut Hitam dan Laut Caspian) sebagai Yakjuj dan Makjuj. Mereka ini "manusia liar dengan muka hodoh dan perangai seperti haiwan ganas, dan minum darah". Seorang pengembara Arab, Ibn Fadlan juga percaya bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah nenek moyang kaum Khazar. Sebuah akhbar tempatan baru-baru ini pun ada menyiarkan berita penemuan puing-puing kota Khazar.
Sir John Mandeville seorang pengembara pada kurun ke 14 pula berpendapat bahawa Yakjuj Makjuj yang terkurung di sebalik tembok Zulkarnain adalah "Sepuluh Suku Kaum Israel yang hilang". Satu kisah masyarakat di Jerman mendakwa bahawa "Yahudi Merah" akan menyerang Eropah pada akhir zaman. "Yahudi Merah" ini dikaitkan dengan beberapa kaum, terutamanya Yahudi Eropah Timur dan Turki Uthmaniah. Sementara sarjana Muslim seperti Maulana Abul Kalam Azad, Sayyid Abul Ala Maududi dan Tibri percaya bahawa Yakjuj Makjuj adalah orang-orang Mongol. Ini mungkin kerana kaum Mongol merupakan ancaman serius kepada kerajaan Islam di Abad Pertengahan dan sering menyerang kerajaan Islam hingga memusnahkan Empayar Abassiyah di Baghdad dan Empayar Khwarezmi di Asia Tengah.
Arthur Koestler dalam bukunya The Thirteenth Tribe: The Khazar Empire and its Heritage menyatakan bahawa Empayar Khazar kuno adalah empayar Eropah Timur yang besar, dan pada 740 Masehi telah menganut agama Yahudi. Menurut beliau, Khazaria iaitu gabungan suku kaum Arya-Turki akhirnya dihancurkan oleh tentera Genghis Khan, tapi ada bukti bahawa kaum Khazar telah berhijrah ke Poland dan menubuhkan benih Yahudi Barat (Yahudi Ashkenazi). Mereka inilah yang memainkan peranan menyekat serangan Islam ke atas Byzantium. Kaum Khazar menolak Islam dan Kristian lalu memeluk agama Yahudi. Buku Koestler ini telah menimbulkan kontroversi, dan akhirnya Koestler (keturunan Khazar) dan isterinya ditemui mati di rumah mereka di London pada tahun 1983.
YAKJUJ DAN MAKJUJ PENCETUS HURUHARA
Sheikh M. S. AlMunajjid seorang pensyarah dan penulis dari Arab Saudi ada mencatat "Yakjuj dan Makjuj adalah dua kaum kafir dari kalangan anak Adam. Mereka ini gemar membuat kekacauan di muka bumi, maka Allah memberi kuasa kepada Zulkarnain membina tembok bagi menghalang mereka. Mereka akan terus menggali tembok itu hingga sampai masanya Allah memberi izin agar mereka keluar di akhir zaman, setelah Isa a.s. membunuh Dajjal. Mereka ini akan keluar dalam jumlah yang besar dan akan minum (mengeringkan) tasik Tiberias (di Palestin). Mereka akan membuat kacau di muka bumi dan tidak ada seorang manusia pun yang mampu menghalang mereka. Isa a.s. dan orang-orang beriman akan berlindung di Bukit Tur hinggalah Allah membinasakan Yakjuj dan Makjuj dengan menghantar ulat-ulat yang akan memakan tengkuk mereka. Kemudian Allah akan menurunkan hujan untuk menghanyutkan tubuh mereka ke laut dan membersihkan muka bumi dari bau busuk". (www.islam-qa.com)
Dr. Muzammil H. Siddiqi, mantan Presiden Persatuan Islam Amerika Utara menyatakan "Yakjuj dan Makjuj atau Gog dan Magog disebut dalam Qur'an di dua tempat iaitu Surah Al-Kahfi 18:94 dan Surah Al-Anbiya 21:96. Terdapat beberapa hadis Rasulullah s.a.w. mengenainya. Gog dan Magog juga disebut dalam Bible iaitu dalam kitab Ezekiel bab 38-39. Beberapa pentafsir Qur'an di bawah pengaruh Bible cuba mengaitkan mereka ini dengan bangsa Rusia dan Caucasia, tapi tidak ada dalil mengenai hal itu sama ada dalam Qur'an atau Hadis. Kita tidak perlu kaitkan Gog dan Magog dengan mana-mana negara atau bangsa. Ia adalah satu nama umum untuk beberapa kelompok manusia yang liar, degil, kejam, tidak bertamaddun dan tidak beragama. Mereka ini menimbulkan masalah pada masa silam dan sekali lagi mereka atau beberapa golongan manusia yang seperti mereka akan menyebabkan kekacauan sebelum kiamat. Dilaporkan dalam hadis bahawa Imam Mahdi dan Isa a.s. akan menghancurkan mereka dan keamanan akan wujud di muka bumi. Semoga Allah melindungi kita dari cobaan mereka, Amin."
Dari pendapat-pendapat di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah dua kaum, dan bukan dua orang individu kerana jumlah mereka ini (ketika keluar) amat ramai. Pada hemat saya, Yakjuj dan Makjuj ini mempunyai umur sebagaimana manusia biasa, mereka berketurunan dan mati, dan pada masa artikel ini ditulis, jumlah mereka sudah begitu ramai.
Hadis riwayat Abu Said ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: Allah Taala berfirman: Hai Adam. Beliau menjawab: Aku patuhi panggilanMu dan kebaikan ada di tanganMu. Allah berfirman: Keluarkanlah ba`tsan naar. Dia (Adam) bertanya: Apa itu ba`tsan naar? Allah berfirman: Setiap kelipatan seribu, keluarkanlah sembilan ratus sembilan puluh orang. Perintah Allah kepada (Adam as.) itu terjadi ketika anak-anak beruban: Dan kandungan setiap wanita yang hamil gugur dan engkau lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal mereka tidak mabuk, tetapi sesungguhnya siksa Allah sangat pedih. Penuturan Rasulullah saw. tersebut membuat para sahabat merasa khawatir. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah lelaki itu (yang seorang di antara seribu) di antara kami? Rasulullah saw. bersabda: Bergembiralah kamu. Kerana, dari Yakjuj dan Makjuj seribu, sedangkan dari kamu seorang. Kemudian beliau melanjutkan: Demi Zat yang menguasai diriku. Sungguh, aku sangat mendambakan kamu menjadi seperempat penghuni surga. Kami (para sahabat) memuji Allah dan bertakbir. Lalu beliau bersabda: lagi, Demi Zat yang menguasai diriku. Sungguh, aku mendambakan kamu menjadi sepertiga penghuni surga. Kami memuji Allah dan bertakbir. Kemudian kembali beliau bersabda: Demi Zat yang menguasai diriku. Sungguh, aku mendambakan kamu menjadi separoh penghuni surga. Perumpamaan kamu di tengah-tengah umat lain, adalah bagaikan sehelai rambut putih pada kulit sapi hitam, atau seperti belang pada betis khimar - Sahih Muslim
YAKJUJ MAKJUJ BERADA DI BAWAH BUMI
Dari Abu Hurairah sebagaimana dilaporkan oleh At-Tirmidhi, Ibn Majah dan Ahmad menyatakan Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa pada setiap hari Yakjuj dan Makjuj akan menggali tembok itu. Bila mereka melihat cahaya matahari melaluinya, ketuanya menyatakan "Pulanglah, kita akan teruskan penggalian esok hari", dan bila mereka datang semula, tembok itu jadi lebih kuat dari sebelumnya. Ini akan berterusan hingga sampai satu masa dan Allah mahu mengeluarkan mereka. Mereka akan menggali hingga mereka mula nampak cahaya matahari, kemudian ketua mereka berkata "Pulanglah, kamu boleh teruskan menggali esok hari, InsyaAllah". Pada kali ini dia telah menyatakan sesuatu yang berbeza iaitu InsyaAllah, lantas mengaitkan kerja itu dengan Kehendak Allah. Mereka akan datang semula esoknya, dan mendapati lubang itu kekal sebagaimana ketika mereka meninggalkannya, dan setelah menggalinya lagi mereka dapat keluar. Yakjuj dan Makjuj akan memanahkan panah-panah ke langit, dan (panah-panah itu) akan kembali jatuh ke bumi dengan (lekat padanya) sesuatu yang berupa seperti darah. Yakjuj dan Makjuj akan berkata "Kita sudah mengalahkan manusia di muka bumi, dan mengatasi manusia di langit". Kemudian Allah akan menghantar satu jenis ulat pada tengkuk mereka, dan mereka akan mati kerananya. (disalin semula dalam bentuk cakap pindah, dari terjemahan hadis berbahasa Inggeris).
Hadis riwayat Zainab binti Jahsy ra.: Bahawa Nabi saw. bangun dari tidurnya sambil bersabda: Laa ilaaha illallaah, celakalah orang-orang Arab kerana suatu bencana akan terjadi, yaitu hari ini dinding (bendungan) Yakjuj dan Makjuj telah terbuka sebesar ini. Dan Sufyan (perawi hadis ini) melingkarkan jarinya membentuk angka sepuluh (membuat lingkaran dengan jari telunjuk dan ibu jari). Aku (Zainab binti Jahsy) bertanya: Wahai Rasulullah, apakah kita semua akan binasa padahal di antara kita banyak terdapat orang-orang saleh? Beliau menjawab: Ya, jika banyak terjadi kemaksiatan - Sahih Muslim
Hadis riwayat Abu Hurairah ra.: Dari Nabi saw., beliau bersabda: Hari ini dinding Yakjuj dan Makjuj telah terbuka sebesar ini. Wuhaib (perawi hadis) melingkarkan jarinya membentuk angka sembilan puluh (menekuk jari telunjuk sampai ke pangkal ibu jari) - Sahih Muslim
Kita dapat perhatikan dari hadis-hadis Rasulullah (di atas tadi) bahawa keadaan tembok Zulkarnain itu adalah menutup satu lubang dan Yakjuj dan Makjuj terperangkap di dalamnya. Keadaan tembok itu bukan seperti Tembok Besar Cina atau Tembok Berlin. Bila Yakjuj dan Makjuj menggali tembok itu sampai ke satu peringkat, maka akan kelihatan cahaya matahari, menunjukkan Yakjuj dan Makjuj terperangkap di dalam bumi. Wallahua'lam.
DABBATUL ARD PETUNJUK DI MANA YAKJUJ MAKJUJ BERADA
Kemunculan Dabbatul 'Ard iaitu binatang dari (bawah) bumi yang boleh berkata-kata ini adalah selepas kemunculan Dajjal, sebelum matahari terbit dari Barat, sebelum turunnya Isa a.s. dan sebelum keluarnya Yakjuj Makjuj. Sila baca pula hadis berikut:
Riwayat Muslim dari Hadith Al-Ala' dari ayahnya dari Abi Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bergegaslah melakukan amal kebajikan sebelum datangnya Dajjal, kabut, binatang melata (Dabbatul Ard), hari kiamat dan kematian salah satu dari kamu." - Hadis Riwayat Ibnu Majah & Abi Daud
Dari Amirul Mukminin Ali Bin Abi Talib, dia berkata: "Sesungguhnya binatang itu (Dabbatul Ard) mempunyai kepala, bulu-bulu yang halus, berpunggung, mempunyai ekor, berjanggut dan dia muncul tiga kali seperti larinya kuda kencang dan dua pertiganya tidak keluar." - Hadis Riwayat Ibnu Abi Hatim
Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata: "Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: "Apa yang kamu perbincangkan?". Kami menjawab: "Kami sedang berbincang tentang hari kiamat". Lalu Nabi saw. bersabda: "Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya". Kemudian beliau menyebutkannya: "Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam a.s., Ya’juj dan Ma'juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka". (Hadis Riwayat Muslim dan Imam Ahmad - At-Tirmidhi berkata hadis ini Hasan Sahih)
Sepuluh tanda-tanda kiamat yang disebutkan Rasulullah saw. dalam hadis ini adalah tanda-tanda kiamat yang besar-besar, akan terjadi di saat hampir tibanya hari kiamat:
1. Dukhan (asap) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit yang seperti selsema di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir.
2. Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya.
3. Binatang besar yang keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekah yang akan bercakap bahawa manusia tidak beriman lagi kepada Allah swt.
4. Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya. Maka pada saat itu Allah swt. tidak lagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada orang yang berdosa.
5. Turunnya Nabi Isa a.s. ke permukaan bumi ini. Beliau akan mendukung pemerintahan Imam Mahadi yang berdaulat pada masa itu dan beliau akan mematahkan segala salib yang dibuat oleb orang-orang Kristian dan beliau juga yang akan membunuh Dajjal.
6. Keluarnya bangsa Ya'juj dan Ma'juj yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zulkarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.
7. Gempa bumi di Timur.
8. Gempa bumi di Barat.
9. Gempa bumi di Semenanjung Arab.
10. Api besar yang akan menghalau manusia menuju ke Padang Mahsyar. Api itu akan bermula dari arah negeri Yaman.
DABBATUL ARD MAKHLUK YANG BERKATA-KATA
Mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitab Fathul Bari beliau mengatakan: "Apa yang dapat dirajihkan (pendapat yang terpilih) dari himpunan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. bahawa keluarnya Dajal adalah yang mendahului segala petanda-petanda besar yang mengakibatkan perubahan besar yang berlaku dipermukaan bumi ini. Keadaan itu akan disudahi dengan kematian Nabi Isa a.s. (setelah belian turun dari langit). Kemudian terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya adalah permulaan tanda-tanda kiamat yang besar yang akan merosakkan sistem alam cakerawala yang mana kejadian ini akan disudahi dengan terjadinya peristiwa kiamat yang dahsyat itu. Barangkali keluarnya binatang yang disebutkan itu adalah terjadi di hari yang matahari pada waktu itu terbit dari tempat tenggelamnya".
Ibn 'Abbas, Al-Hassan dan Qutadah berpendapat bahawa Dabbatul Ard itu akan 'berkata-kata kepada mereka' (tukallimuhum). Ibn Jarir At-Tabari juga berpendapat bahawa Dabbatul Ard akan berkata-kata kepada manusia berdasarkan Surah An-Naml 27:82. Ibn 'Abbas menambah bahawa 'tukallimuhum' bermakna Dabbatul Ard akan memotong mereka (maksudnya ia akan menuliskan perkataan 'kafir' di dahi orang-orang yang kafir. Beliau berpendapat bahawa Dabbatul Ard akan berkata-kata kepada manusia dan akan menandakan dahi-dahi mereka sebagai kafir.
'Abdullah bin 'Amr berkata bahawa beliau mengingat satu hadis dari Rasulullah yang tidak akan beliau lupakan, iaitu apabila Rasulullah berkata bahawa tanda pertama (hampir kiamat) ialah matahari terbit dari Barat, dan keluarnya Dabbatul Ard sebelum tengahari, iaitu sejurus selepas (atau sebelum) itu. (Ini juga dicacat oleh Muslim dalam Sahih).
Dabbatul Ard juga diberitakan akan muncul di satu kawasan gurun berhampiran Makkah. Baridah berkata bahawa Rasulullah s.a.w. membawa beliau ke satu tempat di gurun berhampiran Makkah. Ia adalah sebidang tanah kering dikelilingi pasir (saiz kawasannya kecil saja). Rasulullah telah bersabda bahawa binatang itu akan keluar dari tempat tersebut. (Ini dicatat juga dalam Sunan Ibn Majah).
Rupa bentuk Dabbatul Ard sebagaimana pernah diterangkan oleh Az-Zubayr r.a. dan disampaikan oleh Ibn Juraij ialah kepalanya seperti kepala lembu, matanya seperti mata babi, telinganya seperti telinga gajah, tanduk seperti rusa, leher seperti ostrich, dada seperti dada singa, warna seperti warna harimau, punggung seperti punggung kucing, ekornya seperti ekor kambing randuk, betisnya seperti betis unta. Jarak antara dua sendinya ialah 12 hasta (hasta - dari hujung jari tengah hingga ke siku). Ia juga akan membawa bersamanya tongkat Musa dan cincin Sulaiman. Tidak akan ada orang beriman yang tinggal melainkan ia menandakan satu titik putih di mukanya dan tanda itu akan merebak hingga mukanya akan bersinar putih, dan tidak akan ada orang kafir yang tinggal melainkan ia akan menandakan satu titik hitam di mukanya, dan ia akan merebak hingga semua mukanya akan jadi hitam. Ini akan menyebabkan manusia mudah mengenali siapa yang beriman dan siapa yang kafir. Abu Dawud At-Tayalisi juga mencatat dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda bahawa binatang ini akan keluar dari bumi dan ia akan membawa tongkat Musa dan cincin Sulaiman. Ia akan memukulkan hidung orang kafir dengan tongkat itu dan akan menjadikan wajah orang beriman bercahaya dengan cincin itu, hingga bila manusia berkumpul untuk makan, mereka akan dapat membezakan antara yang beriman dan yang kafir. Imam Ahmad juga mencatatkan dalam Musnad beliau, tapi menyebut bahawa binatang itu akan memukul orang kafir dengan cincin, dan akan membuatkan wajah orang beriman jadi bercahaya dengan tongkat, hingga bila manusia berkumpul untuk makan, mereka akan menyeru satu sama lain: Wahai orang beriman, atau Wahai orang kafir. Ibnu Majah juga mencatatkan ini dalam Sunan beliau.
MUNCUL DARI BAWAH BUMI
Anda telah membaca maksud hadis-hadis di atas tadi yang lebih banyak menyentuh mengenai Dabbatul Ard, yang akan muncul dari bumi. Maksudnya dari bawah bumi. Sebenarnya sumber-sumber yang mencatat mengenai Yakjuj dan Makjuj adalah lebih banyak, ia di catat dalam Torah dan Bible, juga dalam catatan-catatan sejarah bangsa Rusia, Cina dan lainnya, tapi lebih baik saya salinkan maksud ayat-ayat Al-Qur'an sebagai dalil yang tidak harus dipertikaikan:
Al-Kahfi 018:92. Kemudian dia berpatah balik menurut jalan yang lain.
Al-Kahfi 018:93. Sehingga apabila dia sampai di antara dua gunung, dia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.
Al-Kahfi 018:94. Mereka berkata: Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi, oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?
Al-Kahfi 018:95. Dia menjawab: (Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu), oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.
Al-Kahfi 018:96. Bawalah kepadaku ketul-ketul besi, sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: Tiuplah dengan alat-alat kamu sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya.
Al-Kahfi 018:97. Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu dan mereka juga tidak dapat menebuknya.
Al-Kahfi 018:98. (Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku, dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur dan adalah janji Tuhanku itu benar.
Maka sampailah kita kepada ayat yang telah saya catat di awal artikel ini:
Al-Anbiya’ 021:96. (Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Yakjuj dan Makjuj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.
Al-Anbiya’ 021:97. Dan hampirlah datangnya janji hari kiamat yang benar, maka dengan serta-merta pandangan mata orang-orang yang kufur ingkar terbeliak (sambil berkata dengan cemas): Aduhai celakanya Kami. Sesungguhnya kami telah tinggal dalam keadaan yang melalaikan kami daripada memikirkan perkara ini, bahkan kami telah menjadi orang-orang yang menganiaya diri sendiri.
Sila perhatikan Al-Kahfi 18:94, "...membina tembok di antara kami dengan mereka" kemudian Al-Kahfi 18:96 ".. Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan ke atasnya" kemudian Al-Kahfi 18:97 "Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu dan mereka juga tidak dapat menebuknya".
Saya telah membaca banyak sumber-sumber rujukan. Masing-masing punya pendapat masing-masing mengenai "tembok" yang dibina oleh Zulkarnain. Mungkin ramai yang berfikir bila dikatakan "tembok" ia ibarat Tembok Besar Cina. Saya tidak fikir begitu. Pada hemat saya, apa yang Zulkarnain lakukan ialah menutup satu lubang besar, yang mana dari lubang itulah keluar masuknya kaum Yakjuj dan Makjuj bagi melakukan kerosakan di muka bumi. Apabila lubang itu sudah ditembok (ditutup) dengan tembaga cair, maka Yakjuj dan Makjuj terkurung di bawah bumi. Sila baca seterusnya:
YAKJUJ DAN MAKJUJ DALAM PERJANJIAN LAMA DAN BARU
Dalam bahasa Hebrew, Gog (Yakjuj) bererti "putera raja" sementara Magog (Yakjuj) bererti "tanah". Orang-orang Yahudi percaya Yakjuj (Gog) adalah ketua satu angkatan tentera besar yang akan menyerang tanah Israel pada akhir zaman. Yakjuj (Gog) difahami mereka sebagai anak Rosh, Meshesh dan Tubal, dari utara, iaitu dari tanah Makjuj (Magog) [Ezekiel 38:2-3]. Nabi Ezekiel memberitakan bahawa Yakjuj (Gog) akan menyerang Israel dengan angkatan yang kuat (Ezekiel 38-39) dan Yakjuj akan dikalahkan oleh (kuasa) Tuhan di pergunungan Israel. Pembunuhan itu amatlah besar hingga tujuh bulan diperlukan untuk menanam mayat (Ezekiel 39:12). Kisah Yakjuj dan Makjuj juga disebut dalam kitab Revelation (20:7-8) di mana isinya serupa.
Dalam Genesis 10:2 pula dicatat bahawa Makjuj (Magog) adalah anak Yafis dan cucu Nuh a.s. Keturunan Makjuj menduduki jauh di utara Israel, mungkin di Eropah dan Asia utara (Ezekiel 38:2). Makjuj (Magog) biasanya dikaitkan dengan 'kaum barbar utara', tapi mereka juga percaya ada kemungkinan ia ada kaitan dengan seseorang yang bernama Makjuj (Magog). Kaum Makjuj (Magog) dikatakan sebagai pejuang yang mahir. "Bahkan engkau akan datang dari tempatmu dari sebelah utara sekali, baik engkau, baik beberapa bangsa pun menyertaamu semuanya mengendarai kendaraan, satu perhimpunan orang banyak, satu tentera yang amat besar" - (Ezekiel 38:15). Secara umumnya kaum Yahudi percaya bahawa kisah Yakjuj Makjuj adalah mengenai serangan ke atas Israel di akhir zaman (Revelation 20.8-9). Ahli-ahli kitab mereka cuba kaitkan Gog dan Magog itu dengan Rusia atau China tapi ianya tidak disebut dalam Bible. - Sumber: gotquestions.org
Dalam Perjanjian Baru, perkataan Gog (Yakjuj) dan Magig (Makjuj) ada dicatat dalam Kitab Revelation, yang menyatakan bahawa bila sudah berlalu beribu tahun, syaitan akan keluar dari penjara, dan akan pergi menghasut bangsa-bangsa yang ada di empat penjuru bumi, iaitu Gog dan Magog, menghimpunkan mereka agar berperang, dan bilangan mereka adalah ibarat pasir laut. Kemudian Tuhan akan mengirimkan api dari langit lantas membunuh mereka.
Saya paparkan isi kandungan Bible sebagaimana di atas untuk menunjukkan kepada kita semua bahawa kaum Yahudi dan Nasrani pun sudah dapat berita kedatangan Yakjuj dan Makjuj, dan ini membenarkan apa yang termaktub dalam Al-Qur'an. Cuma, kita (kini) hanya boleh anggap isi kandungan Bible sebagai buku sejarah (kerana ia telah diubah), dan kebenarannya isinya disangsikan. Gambaran Gog dan Magog, jika diperhatikan, adalah amat berbeza antara Perjanjian Lama (Hebrew Bible) dan Perjanjian Baru (Bible).
Dalam Bible, perjanjian lama pula ditemui: 'Maka pada masa itu engkau akan datang naik seperti guruh yang membinasakan dan seperti awan-awan yang menudungi bumi. Engkau dengan segala bala tenteramu dan beberapa bangsa-pun sertamu ; -Jehezkie38-9.
'Bahkan engkau akan datang dari tempatmu dari sebelah utara sekali, baik engkau, baik beberapa bangsapun sertamu semuanya mengendarai kendaraan, satu perhimpunan orang banyak, satu tentera yang amat besar,'-Jehezkie, 38-15
TEKS KAUM YAKJUJ MAKJUJ DICARI
Anda mungkin pernah terbaca bahawa kaum Yahudi amat berminat menjejaki kaum Gog dan Magog ini. Mereka sebenarnya tidak berminat pada artifak-artifak lain (pinggan mangkuk, perhiasan dan yang seperti itu) yang telahpun ditemui sebahagiannya. Mereka sebenarnya mahu mencari "The Thirteenth Tribe of Israel" (Gog dan Magog) kerana mahu mendapatkan teks-teks yang ada pada kaum ini. Pada hemat saya, mereka mencarinya kerana mereka tahu bahawa bangsa ini memiliki teknologi penerbangan dan persenjataan yang canggih. Dan olehkerana kaum Yakjuj dan Makjuj ini (mereka ketahui) beragama Yahudi, maka mereka mahu bergabung tenaga bagi menguasai pula bangsa lain. Di atas segala-galanya, mereka mahu menjadikan kaum Yakjuj dan Makjuj ini sebagai kawan mereka, agar apa yang dicatat dalam Kitab Ezekiel (bahawa Yakjuj dan Makjuj akan menyerang Israel) tidak akan berlaku.
KESIMPULAN
Saya masih berpendapat (secara teori) bahawa Yakjuj dan Makjuj yang terkurung di sebalik tembok yang dibina oleh Zulkarnain itu adalah kaum yang maju teknologinya pada ketika itu. Mereka ini ada akses ke bawah bumi, dan mempunyai kenderaan untuk keluar menyerang kaum-kaum lain, kemudian masuk semula ke bawah bumi. Di sana mereka meletakkan berbagai kelengkapan senjata dan pesawat terbang. Memang ada teori "Hollow Earth" pernah dikemukakan oleh Barat, dan memang ada pihak-pihak yang menyangkalnya kerana berpendirian bahawa bawah bumi suhunya amat panas dan ada lahar sepertimana yang terdapat di gunung berapi. Saya bukan menyokong sepenuhnya teori "Hollow Earth" tapi saya berpegang pada maksud Surah Yasin 36:36 serta Surah An-Naml 27:82. Kewujudan Dabbatul Ard di bawah bumi adalah isyarat bahawa bawah bumi ada penghuni dan boleh saja didiami oleh kaum Yakjuj Makjuj jika Allah menghendaki. Kita usah hairan mengenai "sekitaran ekstrem" kerana manusia pun boleh hidup di Tundra dan Kutub Selatan yang amat sejuk, malah di Gurun Sahara dan Gobi, yang amat panas.
Tidak keterlaluan jika saya catat bahawa di bawah bumi terdapat begitu banyak bahan makanan, cuma kita tidak menemuinya dan kerana itu tidak mengetahuinya. Tapi adakah bawah bumi itu amat gelap? Wallahua'lam. Kalau kita sabitkan bawah bumi umpama gua atau lubang biasa, ia memanglah gelap, namun ada catatan-catatan kuno di sekitar Tibet yang mencatat mengenai Agharta, sebuah kerajaan di bawah bumi yang mempunyai cahaya tersendiri untuk meneranginya. Malah dikatakan ada lorong-lorong bawah tanah dari sekitar pergunungan Himalaya itu untuk sampai ke sana dan hal ini hanya diketahui oleh sami-sami Tibet. Sama ada itu suatu kebenaran atau tidak, pokok pangkalnya ia bukan mustahil.
Pada hemat saya 'kehilangan' Yakjuj dan Makjuj adalah kerana tamadun mereka (sejak zaman Zulkarnain) telah terpisah dan terputus dari pengetahuan tamadun manusia di atas muka bumi. Di bawah bumi, mereka berdiri 'terbalik' berbanding kita. Mereka tertakluk kepada 'tenaga terkitar' (centrifugal earth force) akibat putaran bumi. Kita pula tertakluk kepada 'tenaga terpusat' (centripetal earth force) atau apa yang kita sebut tenaga graviti.
Saya ada paparkan imej menunjukkan keratan lintang gambaran lubang di bawah bumi. Pada hemat saya, Zulkarnain telah menutup satu lubang besar tempat keluar masuk kaum Yakjuj Makjuj. Lubang itu apabila tertutup telah menjadikan kaum Yakjuj Makjuj tertakluk kepada 'tenaga terkitar'. Kesannya, bumbung jadi lantai dan lantai jadi bumbung. Maksudnya lubang yang ditutup oleh Zulkarnain kini berada di bawah mereka, bukan di atas kepala mereka. Keturunan demi keturunan, kaum Yakjuj Makjuj ini pun tidak tahu di manakah 'tembok Zulkarnain' itu berada. Samalah kiasannya dengan apa yang berlaku pada kita di atas bumi ini. Hingga ke hari ini tiada kata sepakat di manakah 'tembok Zulkarnain' itu berada, apatah lagi bertemu tapak yang tepat (the exact spot). Maka kaum Yakjuj Makjuj pun begitu, hinggalah sampai ke satu masa bila mereka menemuinya dan berjaya keluar melaluinya.
Memang ada kemungkinan 'tembok' itu hancur atau pecah akibat bom nuklear yang digunakan oleh penduduk atas muka bumi. Jika tidak, ia disebabkan oleh gempa bumi yang berlaku sebelum itu (sila rujuk salah satu hadis di atas). Namun saya cenderung berpendapat ini adalah akibat angkara manusia (bom nuklear). Sila perhatikan maksud ayat ini: "Aduhai celakanya Kami. Sesungguhnya kami telah tinggal dalam keadaan yang melalaikan kami daripada memikirkan perkara ini, bahkan kami telah menjadi orang-orang yang menganiaya diri sendiri. (Al-Anbiya 21:97)
Semoga manusia di atas muka bumi ini tidak terlalu rakus dalam perlumbaan mencipta senjata pemusnah besar-besaran, kerana akhirnya kesan buruk akan berbalik kepada diri mereka sendiri.
Wallahua'lam.
Semoga Allah merahmati kita semua. Wassalam.
|
|