
Kajian: Benarkah Tembok Yakjuj Makjuj Sudah Ditemui?
Date: Sunday, June 17 @ 10:50:48 MYT Topic: Kajian & Penyelidikan
Assalamu'alaikum,
Saya menyeru agar anda baca dengan teliti artikel ini, renungkanlah dan VOTE artikel ini sebagai tanda sokongan anda. Lihat blok Article Rating di sebelah kanan, pilih berapa bintang yang mahu anda beri, kemudian klik Cast my Vote! Komen anda juga amat dialu-alukan.
Setakat yang saya ketahui, sarjana-sarjana Islam telahpun melakukan kajian yang bukan sedikit mengenai siapakah Zulkarnain yang disebut di dalam Al-Qur'an, siapakah kaum Yakjuj dan Makjuj dan di manakah pula letaknya Tembok Zulkarnain. Dalam artikel ini saya akan mencatat beberapa perkara yang mungkin menarik minat anda.
SIAPA SEBENARNYA ZULKARNAIN?
Sebenarnya pendapat popular bahawa Zulkarnain adalah Iskandar
Zulkarnain (Alexander The Great) telah dinafikan oleh ramai sarjana
Islam kerana setelah dikaji latarbelakang Iskandar Zulkarnain, ternyata
bahawa beliau bukanlah seorang yang berperibadi mulia sebagaimana
Zulkarnain yang diberitakan di dalam Al-Qur'an. Atas sebab itu sarjana
yang kemudian telah mengkaji lagi dan mencari siapakah sebenarnya
Zulkarnain itu.
Wahab bin Munabbih berpendapat bahawa Zulkarnain adalah seorang raja
Yaman bernama As-Sha'ab Zulkarnain bin Al-Harith Zu Murathid bin Amru
Al-Hammal Zu Manah bin Aad Zu Syidad bin Emir bin Al-Milthat bin Saksak
bin Wail bin Himyar bin Saba' bin Yusyiab bin Yi'rab bin Qahtan bin Hud
a.s. bin Emir bin Syalikh bin Arfafksyad bin Sam bin Nuh a.s. Menarik
juga kisah As-Sha'ab Zulkarnain ini kerana baginda ini dikatakan hidup
di zaman Nabi Musa a.s. dan satu lagi perkara menarik ialah bahawa Nabi
Khidir a.s. adalah menteri kanan kepada As-Sha'ab dan Khidir a.s. telah
mengikuti baginda bersama-sama dalam siri pengembaraan baginda untuk
menakluki negeri-negeri lain. Malah Khidir a.s. dikatakan telah
menghilangkan diri selepas As-Sha'ab Zulkarnain mangkat.
Seorang lagi raja yang dikaitkan dengan Zulkarnain ialah Kaurasyh
Al-Ikhmini. Pendapat ini dikemukakan oleh Abul Kalam Azad, bekas
Menteri Pendidikan India. Beliau telah menyelidik sejarah Parsi kuno
dan menemukan seorang raja yang terbilang sejarahnya. Kaurasyh dikenali
oleh orang Greek sebagai Syrus, dan orang-orang Yahudi menggelarnya
sebagai Khauras. Selain dari merupakan raja yang agung, Khaurasyh
dikatakan bersifat adil, hubungan dengan rakyat jelata adalah baik, dan
menunjukkan sifat-sifat kemanusiaan yang mulia.
Jika mahu dicatat satu persatu berkaitan tiga raja yang dikaitkan
dengan Zulkarnain dalam Al-Qur'an itu akan jadi amat panjanglah artikel
ini. Memadailah untuk saya catat di sini pendapat Muhammad Khair
Ramadhan Yusuf yang telah mengkaji dengan terperinci mengenai raja-raja
berkaitan. Beliau berpendapat bahawa adalah lebih baik untuk tidak
mengaitkan salah satu dari tiga raja ini sebagai Zulkarnain yang
disebut di dalam Al-Qur'an. Adalah lebih baik bagi kita menganggap
bahawa Zulkarnain yang di sebut di dalam Al-Qur'an itu sebagai seorang
raja agung yang beriman, yang berperibadi mulia. Saya sendiri pun
bersetuju dengan beliau, kerana pendapat-pendapat ulama berkaitan
perkara tersebut adalah sekadar pendapat dan belum lagi mencapai tahap
pembuktian yang benar-benar kukuh. Mungkin pada satu hari nanti ulama
Islam akan menemui bukti siapakah Zulkarnain yang dimaksudkan di dalam
Al-Qur'an. InsyaAllah.
YAKJUJ DAN MAKJUJ DARI BERBAGAI SUMBER
Dari susut perkataan Yakjuj dan Makjuj, Imam Al-Alusi, Ibnu Manzur dan
Al-Hafiz Ibnu Hajar berpendapat bahawa perkataan Yakjuj dan Makjuj
berasal dari bahasa asing (bukan bahasa Arab). Sesetengah ulama lain
mengatakan ia berasal dari bahasa Arab. Abul Kalam Azad pula menyatakan
bahawa perkataan Yakjuj dan Makjuj berasal daripada bahasa Ibrani, dan
pada asalnya ia adalah bahasa asing. Masyarakat Yunan menyebutnya
sebagai Gog dan Magog.
Berbagai pendapat telah dikemukakan mengenai asal-usul kaum Yakjuj dan
Makjuj. Menurut Imam Al-Alusi, Wahab bin Munabbih, dan ramai ulama
termasuk pada masa kini, Yakjuj dan Makjuj berasal dari kalangan
anak-anak Yafith bin Nuh a.s. Al-Kisai menyatakan dalam kitab Al-Ara'is
bahawa Yafith ada lima anak iaitu Jumar, Banras, Asyar, Askuwail dan
Mayasheikh, dan Yakjuj dan Makjuj berasal dari keturunan Asyar. Hadis
dari Ibnu Abi Hatim dan Hakim melalui Abu Hurairah menyatakan bahawa
Yakjuj dan Makjuj adalah dari keturunan Yafith bin Nuh a.s. Sesetengah
ulama berpendapat bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah dari keturunan Yafith
iaitu bapa kepada bangsa Turki, dan mereka menamakannya sebagai bangsa
Turki kerana Yakjuj dan Makjuj itu "terpisah atau tinggal" pada satu
arah di belakang tembok. Ada juga yang berpendapat bahawa Yakjuj
berasal dari Turki sementara Makjuj pula berasal dari Al-Gel dan
Ad-Dailam.
Dari segi sifat Yakjuj dan Makjuj pula, banyak pendapat yang
berbeza-beza telah dikemukakan oleh para ulama. Sebahagiannya dianggap
terlalu aneh, pelik dan menyimpang dari realiti dan telah dianggap
sebagai dongeng Isra'iliyat. Para pengkaji percaya bahawa Yakjuj dan
Makjuj digambarkan oleh sebahagian ulama sedemikian rupa semata-mata
untuk menarik minat pembaca. Sepatutnya Yakjuj dan Makjuj tidak
digambarkan sewenangnya hingga boleh mendatangkan kekeliruan kepada
umat Islam. Ibnu Jarir ada meriwayatkan daripada Wahab bin Munabbih
secara terperinci mengenai kisah Zulkarnain dan pembinaan tembok,
tetapi tidak menyentuh mengenai sifat-sifat Yakjuj dan Makjuj. Para
pengkaji berpendapat bahawa hadis-hadis ganjil berkaitan sifat Yakjuj
dan Makjuj ini tidak sah dari segi sanadnya. Secara umumnya kini para
pengkaji berpegang pada prinsip bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah
manusia, anak-anak Adam, dari keturunan Yafith bin Nuh a.s. Sheikh
Abdul Karim Khatib menyatakan bahawa tidaklah diketahui sama ada Yakjuj
dan Makjuj punya perbezaan ketara dari sudut tubuh, mungkin ada
kelainan dari segi warna kulit, akhlak dan adat, tapi mungkin dari
sudut kekuatan dan membentuk kerajaan.
Menurut hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim dan Ibnu Mardhawiyyah
melalui Ibnu Amru bin Aus daripada datuknya, bahawa Yakjuj dan Makjuj
ini berjima' secara bebas dengan perempuan dari kalangan mereka
(maksudnya mereka menjima' sesuka hati) dan ikatan perkahwinan mereka
dibentuk mengikut kehendak mereka sendiri. Ibnu Hajar berkata bahawa di
kalangan Yakjuj Makjuj ada yang mahir dalam sektor perkilangan,
pemerintahan dan sebagainya, dan anggota kerajaan serta rakyat amat
patuh kepada ketua. Ibnu Hajar juga berpendapat bahawa mereka mempunyai
pokok-pokok dan tanaman-tanaman dan juga peralatan-peralatan.
Berapa ramaikah bilangan Yakjuj dan Makjuj? Ada yang berpendapat bahawa
jika dirujuk pada Surah Al-Anbiya' Ayat 96, ternyata bahawa Yakjuj dan
Makjuj turun dalam keadaan laju dari tempat yang tinggi dan keadaan
mereka (kelajuannya) adalah seperti serigala berjalan. Dan jelas bahawa
ayat itu menunjukkan jumlah mereka adalah ramai. Diriwayatkan oleh
Al-Hakim dan Ibnu Mardhawiyyah melalui Abdullah bin Amru, juga
diriwayatkan oleh Abdu bin Hamid melalui sanad sahih daripada Abdullah
bin Salam: "Sesungguhnya (Yakjuj dan Makjuj) daripada zuriat Adam dan
di belakang mereka ada tiga umat, tidak mati di kalangan mereka
melainkan meninggalkan lebih daripada seribu zuriat. Dari Tabrani dan
Ibnu Mardhawiyyah dan Al-Baihaqi dan Abdu bin Hamid daripada Ibnu Umar:
"Dinamakan (Yakjuj dan Makjuj) kepada tiga umat: Tawil, Taris dan
Mansik". Imam Al-Alusi berpendapat bahawa Yakjuj dan Makjuj mempunyai
umur yang paling panjang. Ibnu Kathir telah berkata bahawa bilangan
mereka tidak dapat ditetapkan, tetapi pasti jumlah mereka sangat ramai.
Apakah jenis kerosakan yang dilakukan oleh Yakjuj dan Makjuj?
Sesetengah ulama berpendapat bahawa mereka ini melakukan kerosakan dan
keganasan dengan menerkam ke atas mangsanya seperti binatang yang
merangkak, liar dan ganas. Mereka juga memakan ular, kala dan semua
yang bernyawa. Al-Kalbi berpendapat: "Mereka ini keluar ke bumi pada
musim bunga dan memakan semua yang dijumpainya sama ada yang hijau atau
yang kering. Mereka juga membawanya masuk ke dalam bumi. Dan sesiapa
yang berjumpa dengan mereka nescaya akan disiksa dan dibunuh."
Sesetengah ulama lain berpendapat bahawa mereka memakan manusia dan
merosakkan apa yang ada di bumi setelah mereka keluar.
Sebahagian ulama' berpendapat bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah orang
Mongol. Syed Qutub seorang pengkaji Islam yang masyhur berpendapat
bahawa ada kemungkinan Yakjuj dan Makjuj adalah orang Mongol, kerana
itulah orang Mongol dan Tartar mengganas serta membuat kebinasaan di
Timur. Doktor Abdul Halim berpendapat bahawa Tartar adalah nama bagi
bangsa yang berlainan petunjuk dengan sebab berlainan masa, tapi
Thomson berpendapat bahawa Tartar merupakan nama yang digelarkan ke
atas bangsa Mongol atau satu puak daripada mereka, dan bukan ke atas
bangsa Turki. Thomson juga berkata bahawa orang-orang Turki telah
keluar dari Mongolia sebagai jalan penyelesaian, dan tempat mereka
diganti oleh orang-orang Mongol. Setengah dari kaum Tartar telah
berpakat dengan puak Turki ketika keluar dari Mongolia dan berpindah
bersama dari Asia Tengah menuju ke arah barat. Ibnu Al-Athir
menggelarkan "At-Taiman" terhadap nenek-moyang Genghis Khan, dan mereka
ini dianggap nenek-moyang bangsa Tartar. Ternyata bahawa bangsa yang
asalnya berketurunan Mongol dan bertutur bahasa Mongolia adalah Tartar.
Nama Mongol dan Mongolia mula digunakan secara rasmi oleh Genghis Khan.
Imam Al-Qasimi juga berpendapat bahawa mereka adalah orang Mongol dan
Tartar.
Persoalan mengenai siapakah Yakjuj dan Makjuj juga telah mendapat
perhatian dan telahpun dikaji dengan terperinci oleh sarjana-sarjana
Islam. Secara ringkasnya, ada yang berpendapat bahawa kaum ini adalah
bangsa Mongol dan Tartar yang memang terkenal ganas dan telah menyerang
dan menakluki sebahagian besar muka bumi, dan kaum Mongol jugalah yang
telah mengalahkan kerajaan Abasiyyah dan menghancurkan Baghdad sekitar
kurun ke 12. Bangsa Mongol ini dikatakan membunuh manusia dengan kejam
dan merosakkan apa yang mereka temui dalam siri penaklukan mereka.
Bangsa ini jugalah yang menyebabkan Shih Huang Ti membina Tembok Besar
China, dan kerja hebat itu disambung oleh raja-raja yang kemudian. Ada
mungkin telah tahu nama-nama Genghis Khan, Kublai Khan dan Hulagu.
Mereka ini adalah antara raja-raja Mongol yang terkenal dalam sejarah.
Doktor Al-Butiy berkata "Apa yang dikatakan oleh sesetengah mereka
hanyalah merupakan satu pendapat atau ijtihad semata-mata bahawa
(Yakjuj dan Makjuj) adalah orang-orang Tartar dan Mongol.." Ada
pendapat yang menyatakan bahawa kaum Yakjuj dan Makjuj ini adalah dari
bangsa Yahudi atau beragama Yahudi. Kaum Yahudi dikatakan pernah
menduduki kawasan timur dan kemudiannya berpindah ke Eropah melalui
Dariel Pass yang berada di banjaran gunung Caucasus. Dalam sebuah
artikel oleh Colonel R.G. Pearse berjudul The National Message, banyak
bukti telah dikemukakan bahawa kabilah Yahudi telah melalui kawasan
Pergunungan Caucasia masuk ke Eropah pada kurun-kurun awal sebelum
kelahiran Nabi Isa a.s. Colonel Pearse dikatakan telah tinggal di
kawasan ini beberapa tahun. Ada dua jalan melalui gunung-ganang
Caucasia ini. Satu darinya bernama Jalan Georgia, dan satu lagi adalah
denai keldai, pada masa silam jalan ini dikenali sebagai "Lorong (Bani)
Israel". Diceritakan bahawa bila 10 kabilah (Bani) Israel berpindah
dari Guta di Media ke Arsareth, mereka (dalam bilangan yang ramai)
perlu melalui banjaran Caucasia ini. Banjaran ini panjangnya beratus
batu.. Mereka kemudiannya sampai ke (kaki) Gunung Kazbek, kemudian
masuk ke siri gaung yang berbatu-batu, yang dinamakan Gaung Dariel,
atau Gaung Darius... Kemudian melepasi kaki bukit, hingga muncul di
dataran Eropah di Gerbang Caucasus.
Saya berpendapat bahawa walaupun kabilah Yahudi ini dikatakan telah
berpindah melalui Lorong Dariel, belumlah dapat dipastikan sama ada
mereka ini telah berpindah kesemuanya sebelum Tembok Zulkarnain dibina.
Dan satu perkara lagi, hingga masa kini pun, sebenarnya Lorong Dariel
boleh dilalui oleh sesiapa yang mengikut jalan di atas bumi. Maksud
saya ialah, setakat yang saya faham, Tembok Zulkarnain itu dibina untuk
mengepung kaum Yakjuj dan Makjuj dari keluar ke atas muka bumi, bukan
mengepung dari satu kawasan atas bumi ke satu kawasan yang lain.
Kemungkinan bahawa sebahagian dari kaum Yahudi inilah yang dinamakan
kaum Yakjuj dan Makjuj dan mereka telah melakukan kerosakan yang besar
di muka bumi mengatasi bangsa Mongol tapi kebanyakan dari peristiwa itu
telah "dipadamkan" dari sejarah oleh bangsa Yahudi yang berada di atas
bumi. Saya berpendapat demikian kerana antara banyak bangsa-bangsa di
dunia ini, bangsa Yahudi adalah bangsa yang dianggap paling bongkak,
kejam dan tidak berperi-kemanusiaan. Mereka ini menganggap
bangsa-bangsa lain seperti binatang ternak yang "halal" disembelih.
Lihatlah apa yang telah mereka lakukan ke atas rakyat Palestin pada
masa sekarang.
Dalam kitab Al-Badu Wa At-Tarikh: "Semua ulama berpendapat bahawa
Yakjuj dan Makjuj tinggal di sebelah timur muka bumi." Imam Al-Masudi
berkata: "Mereka tinggal di bandar terpencil di sebelah timur jauh
diantara sempadan negara China dan di hujung Mongolia. Di situ Iskandar
Zulkarnain telah membina sebuah tembok yang besar bagi menyekat Yakjuj
dan Makjuj daripada keluar ke muka bumi untuk membuat kerosakan."
Tantawi Jauhari berkata: "Di dalam risalah-risalah terdahulu yang
dikarang sekitar kurun ke 3 dan ke 4 telah menjelaskan bahawa Yakjuj
dan Makjuj adalah penduduk yang berada di sudut yang maju di utara
China. Dihadkan negara mereka sekitar 27 darjah ke utara hingga 50
darjah. Negara ini sekarang merupakan bahagian yang besar di China dan
ianya (lokasinya) sekarang merupakan ibu negaranya iaitu Beijing."
DI MANAKAH TEMBOK ZULKARNAIN?
Persoalan ini pun telah mendapat perhatian dari para sarjana Islam.
Ramai yang telah mengkajinya dengan terperinci. Malah ada
ekspedisi-ekspedisi silam yang telah dilakukan untuk mencari di mana
letaknya tembok tersebut. Untuk mengelakkan dari menulis terlalu
panjang, saya ringkaskan di sini bahawa setakat ini seolah-olah
terdapat satu persetujuan bahawa lokasi Tembok Zulkarnain sudah
ditemui. Saya telah melakukan carian demi carian untuk mendapatkan foto
Tembok Zulkarnain tetapi masih gagal. Namun begitu, dalam artikel ini
saya paparkan kawasan lokasi Tembok Zulkarnain untuk kita sama-sama
renungkan.
Kawasan yang dipercayai terletaknya tembok Zulkarnain berada di Utara
Georgia, selatan Rusia, iaitu di banjaran Gunung Caucasus (bahagian
tengah Greater Caucasus Mountains), iaitu di kaki Gunung Kazbek.
Kawasan ini dikenali sebagai Lorong Dariel atau Daryal (Dariel Pass,
ketinggiannya ialah 3,950 kaki atau 1,204 meter dari aras laut).
Kedudukannya berhampiran dengan Sungai Terek. Terdapat satu jalan
tentera Georgia yang merentasi lorong ini (ini baru saja dibina oleh
Rusia tahun 1850'an) dan sejak zaman silam ianya terkenal sebagai
lorong yang dilalui untuk tujuan menjajah. Pada zaman silam, Lorong
Dariel ini juga dikenali sebagai Gerbang Alan, atau Gerbang Caucasia,
atau Gerbang Iberia.
Al-Marhum Abul Kalam Azad pun menyatakan begitu. Beliau mengakui bahawa
di Georgia terdapat satu timbunan besar tembok yang dibuat daripada
besi bercampur tembaga di Bukit Qawqaz (Caucasian Mountain) di suatu
kawasan yang sempit iaitu antara dua bukit Darial (Dariel). Keadaan
bukit itu curam memanjang dari Laut Hitam hingga Laut Qazwain. Ianya
menghubungkan antara dua laut ini. Panjangnya 1,200 kilometer. Bukit
Darial ini secara umumnya masih tidak terusik, masih teguh, mempunyai
bentuk berlapis-lapis. Di sana ada suatu timbunan yang tinggi daripada
besi tulen bercampur tembaga tulen di Tembok Darial. Ia adalah
merupakan suatu hasil kerja menyumbat satu lubang yang ada di situ.
Penduduk-penduduk tempatan takut untuk mengusik atau mengubahnya. Hanya
perubahan semulajadi saja yang berlaku di situ. Terdapat proses
penerokaan tanah berlaku di sebelah-menyebelah tembok itu, tapi tidak
menjejaskan tembok itu sendiri. Ini menyebabkan wujudnya ruang-ruang
kosong antara batu-batu bukit dan Tembok Zulkarnain, yang masih kukuh
hingga sekarang. Nampaknya manusia di atas muka bumi pun tidak mampu
untuk melubanginya mahupun mendakinya.
Banjaran Gunung Caucasia merupakan satu rekahan (fracture, sebagaimana
"geological fault-line"), dan ia adalah pembahagi bukan saja dari sudut
geografi dan budaya etnik, malah juga dari sudut geopolitik.
Terdapatnya kaum yang ganas dan membuat kerosakan (bangsa Monggol) di
sebelah utara menyebabkan Tembok Besar China telah dibina, begitu juga
Tembok Hadrian (Roman Limes). Ada yang berpendapat bahawa Gerbang
Caucasia dibina untuk melindungi Timur Tengah (dari kaum nomad bangsa
Eurasia).
Gerbang Caucasia juga sering disebut sebagai "Pillars, Stronghold" atau
"Iron Gate of Alexander The Great" oleh penulis-penulis klasik. Barat
juga menganggap bahawa Tembok Zulkarnain (Gerbang Caucasia) ini dibina
untuk mengepung Gog dan Magog dari melakukan keganasan dan kerosakan
yang lebih banyak. Pada hari ini, lambang Georgia (matahari, bulan dan
lima bintang) kononnya adalah sempena lambang Iskandar (Zulkarnain).
Kawasan pergunungan Caucasus ini agak unik. Di sini terdapat 62 bahasa
yang dituturkan oleh 5 keluarga besar, budayanya juga berbagai. Kawasan
ini juga terkenal sebagai kawasan yang selalu berlaku peperangan antara
kaum, pertumpahan darah dan peperangan kolonial sejak zaman berzaman.
Lorong Dariel (tempat Tembok Zulkarnain) berada di kaki Gunung Kazbek
(5033m/16,800') dan Elbrus (5642m/18,800'). Kedua-dua gunung ini adalah
gunung berapi yang aktif tapi sudah tidak meletup sejak 500 tahun
lampau, menyebabkan penduduk tempatan menganggap ianya gunung berapi
yang sudah mati.
Saya telah membuat beberapa siri carian di Internet, dan telah terjumpa
antara bukti-bukti bahawa penduduk silam di kawasan ini mempunyai
teknologi yang tinggi. Di kawasan Caucasia ini banyak ditemui batu-batu
besar yang disusun (megaliths) yang dipercayai merupakan kepuk kubur
(dolmens). Batu-batu ini telah dipotong rapi (high-precision) dan di
batu tengahnya telah ditebuk satu lubang bulat. Kehalusan ukiran pada
batu adalah amat tinggi, dianggap sehalus kemahiran pengukir permata
(jeweller).
KESIMPULAN
Pada hemat saya kaum Yakjuj dan Makjuj ini mempunyai teknologi yang
tinggi (mungkin yang diwarisi dari kaum yang telah musnah ketika taufan
Nuh a.s.) dan masih membangunkan teknologinya hingga saat ini. Mengenai
siapakah mereka ini sebenarnya, sama ada Mongol atau Tartar atau dari
keturunan Yahudi adalah pendapat-pendapat yang hingga kini belum dapat
disahkan. Mengenai di manakah Yakjuj dan Makjuj sekarang ini, saya
berpendapat bahawa mereka ini terkepung di bawah bumi, bukan di atas
bumi dan bukan pula di dimensi yang lain. Bolehlah diputuskan bahawa
mereka ini adalah anak-anak Adam dan ciri-ciri mereka adalah
sebagaimana manusia di atas muka bumi juga. Para sarjana Islam telah
menolak kemungkinan bahawa mereka ini berupa seperti binatang atau
berbentuk ganjil dan hodoh.
Satu perkara yang elok dicatat ialah ada sarjana berpendapat bahawa
pada akhir zaman nanti kaum Yakjuj dan Makjuj ini keluar dari banyak
tempat, bukan hanya dari Tembok Zulkarnain yang telah ditebuk. Keadaan
mereka keluar itu ialah secara pantas, berpusu-pusu atau
berlumba-lumba, iaitu suatu keadaan keluar dari tempat yang sempit.
Saya berpendapat bahawa pada akhir zaman mereka ini akan meluru keluar
dari tempat yang tinggi mungkin bermaksud bahawa mereka keluar dari
kawasan pergunungan, bukan saja dari pergunungan Caucasus (Tembok
Zulkarnain) tapi kawasan-kawasan tinggi yang lain seperti Himalaya.
Kemungkinan mereka juga menebuk bekas kawah gunung berapi yang telah
mati juga tidak mustahil. Apa pun, ini hanyalah pendapat saya yang
serba tidak tahu. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui bagaimanakah keadaan
Yakjuj Makjuj kini dan ketika ia keluar nanti.
Berita kaum Yakjuj dan Makjuj dan berita Zulkarnain wajib dipercayai
oleh seluruh umat Islam kerana ianya secara jelas termaktub dalam
Al-Qur'an. Kerana itu jugalah ulama Islam bukan saja telah meneliti
berbagai sumber hadis, malah telah menghujahkan pendapat mereka dengan
panjang lebar. Kajian demi kajian yang telah dilakukan sebelumnya telah
dikaji semula oleh sarjana yang kemudian dengan teliti sekali.
Begitulah sikap pengkaji Muslim sejak dari zaman kegemilangan Islam
lagi. Sepatutnya sikap ini dapat diteruskan oleh sarjana Muslim zaman
ini dan seterusnya zaman berzaman. Walaupun identiti Zulkarnain dan
juga identiti Yakjuj dan Makjuj belum lagi bertemu kata putus,
sebenarnya usaha-usaha para pengkaji mempunyai hikmah yang amat besar.
Mereka telah menyingkap kembali sejarah kegemilangan banyak empayar
silam dan ini telah didokumenkan untuk tatapan generasi kemudian. Pada
hemat saya, kisah Yakjuj Makjuj dan Zulkarnain dalam Al-Qur'an adalah
salah satu dari mukjizat Al-Qur'an itu sendiri. Ianya satu berita
misteri besar yang mendorong banyak pengkaji untuk melakukan kajian
demi kajian, secara berterusan zaman-berzaman selagi jawapan yang pasti
belum ditemui. Umat Islam perlu memperhatikan, menyelidik dan mengkaji
untuk menjadi umat yang hebat dan kaya dengan ilmu pengetahuan. Dan
jangan lupa, itu semua pun adalah atas rahmat Allah Yang Maha Bijaksana.
Semoga Allah menambahkan ilmuNya kepada kita semua. InsyaAllah.
Wallahua'lam.
 Ini adalah catatan original dan tidak dibenarkan anda menyalinnya dalam apa bentuk pun melainkan mendapat izin bertulis dari saya - Hakcipta © 2006 oleh Ibnu Yusof.
|
|