
Nabi Ibrahim a.s. telah ditugaskan oleh Allah untuk
membina semula Kaabah yang rosak selepas taufan Nuh a.s. Saya berpendapat
bahawa Melayu di Nusantara ini berpindah dengan membawa bersama teknologi
tempat asal mereka (di Ur, Babylon)
terutama teknologi binaan.
Saya ada alasan untuk menyatakan sedemikian. Jika
anda rujuk dalam Sulalatus Salatin ada catatan bahawa Melayu berasal dari
keturunan Raja Sulan dan mengetahui teknik membuat peti kaca (kenderaan yang
boleh terbang) untuk ke laut (istilah kuno bagi utara) dan teknologi ini
dipelajari dari Raja Sulaiman (Nabi Sulaiman a.s.).
Malah 3 anak Raja Sulan ini
diberitakan membawa senjata canggih ketika mendarat di Bukit Siguntang Mahameru.
Tidaklah menghairankan jika sebahagian teknologi ini tidak diwarisi lagi oleh
keturunan Melayu kerana ilmu boleh lahir dan pupus dengan matinya orang-orang
berilmu.
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim
dan Kami jadikan pada keturunan keduanya orang-orang yang berpangkat Nabi dan
menerima Kitab-kitab agama maka sebahagian di antara mereka: Orang yang beroleh
hidayat petunjuk dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik (derhaka).
Surah Al-Hadid 57:26
Orang China
zaman silam memanggil Tanah Melayu sebagai Kun Lun. Menurut De Silva (1981)
seorang ahli sejarah Sri Lanka mengakui bahawa penemuan arkeologi menunjukkan
kebudayaan dan tamaddun yang dicapai oleh penduduk Asia Tenggara di zaman
Hoabinhian (menurutnya seawal 15,000 tahun lalu) adalah lebih tinggi daripada
apa yang pernah dicapai oleh penduduk Asia Barat, India dan China pada ketika
itu.
Beliau juga telah membuat kesimpulan bahawa kemungkinan Asia Tenggara (dunia
Melayu) adalah pengasas tamaddun manusia (The Cradle of Civilisation), bukan
Asia Barat. Jika anda lihat adab orang Melayu, anda akan dapati bahawa Melayu cuba
mengekalkan jatidiri mereka sebagai bangsa paling beradab.
Rumpun Melayu atau Melayu Polinesia atau Orang Nusantara adalah
kelompok yang sangat besar, bukan saja di Nusantara tapi di kepulauan Pasifik
(termasuk Hawaii), Oceania (Australia dan New Zealand), Taiwan dan Madagascar. Beribu-ribu tahun dulu, rumpun ni telah
bertebaran sekitar kawasan yang disebut di atas melalui pelayaran dan bangsa
Nusantara ni sangat terkenal sebagai pelaut yang handal hingga mampu sampai dan
membuat penempatan di pulau- pulau yang jauh di tengah lautan.
Di Madagascar,
mereka ni dikenali sebagai orang Merina dan di New Zealand sebagai orang Maori. Orang Maori di New Zealand sendiri mengakui bahawa nenek moyang mereka
adalah pelaut dari kepulauan Melayu, begitu juga dengan bangsa Merina. Teori
tentang pelayaran orang Nusantara ini didapati melalui kajian tentang bahasa yang
di gunakan di tempat-tempat yang berkaitan. Bahasa-bahasa yang digunakan
digunakan di kawasan ini tergolong dalam keluarga besar Bahasa Melayu
Polinesia.
Diantara kumpulan ethnoliguistik utama di dunia, keluarga Nusantara
yang dipanggil Malayo-Polynesia atau Austronesia
oleh sarjana Barat telah mendominasi kawasan geografikal terbesar sebelum era
moden. Dari Timur ke Barat kawasan besar ini meliputi dari Rapa-nui (Easter Island) ke Madagaskar (lebihkurang 60% lilitan
bumi). Dari Utara ke Selatan ia termasuk kepulauan Taiwan (dipanggil Pekan oleh orang asal
Nusantara), semenanjung Hawaii (dari perkataan Hava-iki atau Jawa Kecil sebagai sempena tanah asal
bangsa Polynesia ini) dan New Zealand (Aotearoa dalam bahasa Maori).
Di luar Nusantara ini, kawasan lain yang dikunjungi oleh
para pelayar Nusantara termasuklah bahagian utama Lautan Pasifik (ke Amerika
Selatan) dan Lautan Indonesia,
sejauh Afrika Timur. Melayu Indonesia
merentasi Pasifik dari Afrika ke Easter Island, dari China
ke laut karang di selatan. Penjelajahan Melayu silam ini adalah pencapaian
pelayaran yang menakjubkan mana-mana pun bangsa lain. Merekalah yang
memperkenalkan bahtera layar ke Pasifik 19 kurun yang lampau. Mereka mahir
membaca pedoman bintang dan membuat carta-carta berkaitannya. Dalam sebuah
kitab Arab bertajuk ‘Book of Miracles’ dicatat satu angkatan penjelajahan 300
bahtera Melayu ke Madagaskar pada tahun 945. Ada
kemungkinan Melayu telah sampai ke pantai Afrika seawal zaman tersebut.
Hampir pasti pulau itu ditemui pada kurun pertama oleh
penjelajah Melayu dari Indonesia
tengah, yang punya hubungkait dengan datuk nenek orang-orang Kalimantan
Tenggara. Tidak diketahui apakah yang menarik minat mereka untuk belayar begitu
jauh ke Barat. Hingga kini tidak ada jawapan terhadap persoalan tersebut. Walau
bagaimanapun, besar kemungkinannya bukan mereka saja orang Nusantara yang kerap
menjelajah Lautan Indonesia
di zaman itu.
Dan hakikatnya, para pedagang Melayu (iaitu dari
kerajaan Nusantara yang berbahasa Melayu, dimana yang paling ketara ramai
sebagaimana pernah ditulis oleh sarjana silam China
adalah Melayu yang digelar orang Funan) yang telah berdagang antara Laut China
dan negeri-negeri pantai Laut Indonesia,
sejauh empayar Rom di barat daya.
Kemungkinan hadirnya Melayu di kawasan itu telah
menyumbang kepada berkembangnya agama Hindu-Buddha di Asia Tenggara. Pada masa
datuk nenek orang Merina secara perlahan-lahan menjelajah dan menakluki
Madagaskar, orang Nusantara yang lain berdagang secara aktif dengan pantai
Afrika dan Timur Tengah. Barang dagangan utama ialah rempah, berbagai jenis
batu permata, kulit, hamba sahaya dan sutera. Besar kemungkinan (dari
rujukan-rujukan teks Arab) bahawa pangkalan perdagangan Melayu telahpun
ditubuhkan di pantai-pantai Afrika ketika itu.
Saya catatkan semula. Nabi Ibrahim a.s. pada mulanya
tinggal di Ur, Mesopotamia
atau Babylon. Kemudian berpindah ke
Haran dan kemudian barulah ke Kanaan
(Palestin). Ini adalah sekitar 2166 SM hingga 1991 SM (4,000 tahun lampau).
Baginda dikatakan berumur 175 tahun dan wafat tahun 2123 (1638 BCE). Ada
pendapat menyatakan bahawa Ibrahim a.s. pernah berdakwah hingga ke Kemboja dan
berkahwin dengan orang Kemboja dan inilah yang dikatakan asal usul Bani Jawi. Ibnu
Athir berpendapat bahawa Bani Jawi itu berasal dari anak cucu Ibrahim dengan
isterinya yang bernama Qatura atau Keturah. Adakah yang dikahwini oleh Ibrahim
a.s. di Kemboja itu adalah Keturah tidaklah diketahui tetapi kisah Ibrahim a.s.
menyuruh anak-anaknya dari Keturah agar berpindah ke Timur memang ada disebut dalam
Taurat (Genesis 25:6).
Nabi Ibrahim mengahwini Keturah selepas kematian Siti
Sarah. Ketika itu baginda berusia 137 tahun. Baginda dapat 6 anak hasil
perkahwinan ini. Anak-anak dari Keturah ialah Zimran, Yakshan, Medan,
Midian, Yishbak dan Shuach. Semua ini dicatat dalam Taurat iaitu Genesis
25:2-4. Memang ada kemungkinan juga bahawa nama Melayu itu berasal dari
perkataan Malai-Ur sempena nama kerajaan Chaldea tempat
asal Ibrahim a.s. Ada juga pendapat
menyatakan bahawa Melayu berasal dari perkataan Malai dan Yunan.
Orang Melayu
dikenali sebagai Orang Malai oleh beberapa bangsa lain (Inggeris memanggil Malay,
India memanggil Malai
Karen, China
memanggil Malai Ren). Tapi orang Arab cenderung memanggil orang Melayu sebagai
Bani Jawi. Orang Malai (orang bukit atau gunung) ini mungkin telah mendiami
Kemboja sebelum kedatangan Ibrahim a.s. ke situ, dan hampir pasti Keturah
adalah orang Malai. Anak-anak Keturah adalah dari darah Ibrahim a.s., berjumlah
6 orang dan salah satu dari 6 anak inilah bapa kepada Bani Jawi (ini menurut
Ibnu Athir). Saya berpendapat bahawa Melayu dan Bani Jawi sebenarnya adalah
bangsa yang satu.
Bani Jawi adalah nama yang digelarkan oleh orang Arab silam
terhadap orang Melayu. Cuma Melayu itu dapat dibahagikan kepada dua kelompok,
iaitu Melayu-Proto (keturunan Heth bin Kanaan bin Ham bin Nuh a.s.) dan
Melayu-Deutro (keturunan Ibrahim a.s. dari isterinya Keturah).
Orang Melayu Muslim lebih gemar
dipanggil Melayu Jawi, Orang Jawi atau Bani Jawi. Suku etnik Melayu termasuklah
Acheh, Mendailing, Melayu Deli, Minangkabau, Kerinchi, Riau, Palembang, Sunda,
Melayu Bugis (Makasar), Jawa, Melayu Sulu, Melayu Maluku, Banjar, Melayu Campa
(Kemboja) dan lain-lain. Melayu kini seolah-olah sinonim dengan Islam, ini
mungkin kerana sejak zaman berzaman bangsa Melayu terkenal sebagai bangsa
monotheist (percaya pada keesaan Allah – Sang Hyang Tunggal atau Dewata Mulia
Raya).
Bangsa Melayu di Nusantara dapat dilihat sebagai bangsa hebat yang
menerima Islam secara hampir menyeluruh. Tidak ada bangsa yang menerima Islam
seramai Bangsa Melayu, hinggakan bila seseorang itu memeluk Islam, ia dianggap
masuk Melayu atau masuk Jawi. Paling jelas ialah Melayu di
Indonesia, Malaysia,
Singapura, Brunei,
Kemboja, Pattani dan Mindanao. Sejarah membuktikan
bahawa orang Melayu Nusantara memeluk Islam beramai-ramai dalam tempoh 60 tahun
saja hasil peranan pendakwah yang juga berdagang di mana mereka ini (termasuk
Wali Sembilan) berasal dari pedagang Tanah Arab.

Ini adalah catatan original dan tidak dibenarkan anda menyalinnya dalam apa bentuk pun melainkan mendapat izin bertulis dari saya - Hakcipta © 2006 oleh
Ibnu Yusof.